Pelajar 8 tahun berlubang dahi selepas dilanggar dari belakang

Seorang murid tahun dua, Nur Qasyifa Hazlina Mohd. Hayider, 8 tahun, parah di bahagian muka, termasuk dahi yang berlubang.
Ia selepas motosikal yang dinaiki bersama kakaknya dilanggar dari belakang dalam kejadian langgar lari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Hussin, Bukit Katil, pada Rabu lepas.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu berlaku ketika kakaknya, Nur Qarinah Hazirah, 17, menjemput adiknya pulang dari sekolah menaiki motosikal Yamaha Ego Solaris.
Dalam perjalanan menuju ke arah Duyong, motosikal mereka dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti, menyebabkan dua beradik itu terjatuh.
Akibat daripada kejadian itu, Nur Qasyifa mengalami kecederaan parah di muka, mata serta dahi, manakala kakaknya luka di kaki dan tangan.