Pelajar sekolah jadikan cecair vape sebagai sarapan pagi

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu kerajaan negeri yang masih belum mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik agar segera berbuat demikian demi menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, menyatakan kebimbangan apabila semakin ramai remaja berumur antara 8 hingga 16 tahun terlibat dengan tabiat menghisap vape, termasuk sebelum masuk ke bilik darjah.
Menurut beliau, pelajar kini menjadikan cecair vape sebagai “sarapan pagi” dan membawa alat itu secara sembunyi walaupun ia diharamkan di sekolah.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap insiden tular yang menunjukkan pelajar sekolah menghisap vape berhampiran surau di Selangor, menyifatkan ia sebagai tanda bahaya yang memerlukan tindakan segera.
Jika tiada langkah drastik diambil, CAP memberi amaran bahawa negara akan berdepan krisis sosial lebih besar dalam kalangan generasi muda.