Pelajar UUM maut dihimpit bas, dua pemandu dipanggil polis

Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas dihimpit dua buah bas ketika sedang menunggu giliran menaiki kenderaan itu di dalam kampus, Sabtu lalu.
Mangsa, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22 tahun, disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam menerima rawatan di hospital.
Kejadian berlaku di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, Sintok dan mendapat perhatian luas di media sosial, terutama melibatkan isu keselamatan pengangkutan awam dalam kawasan universiti.
Susulan insiden itu, polis telah mengambil keterangan daripada dua pemandu bas terbabit.
Pemandu pertama berusia 37 tahun dipanggil pada hari kejadian, manakala pemandu kedua, yang dipercayai terlibat secara langsung dalam pelanggaran, ditahan pada Ahad petang sebelum dibebaskan selepas memberi keterangan.
Saringan air kencing terhadap pemandu terbabit didapati negatif. Polis masih meneruskan siasatan termasuk meneliti punca sebenar kemalangan berdasarkan rakaman dan laporan teknikal.