Pelajar wanita cedera dikelar bekas teman lelaki di Subang Jaya

Seorang pelajar wanita warga asing berusia 20 tahun cedera selepas dikelar di leher oleh bekas teman lelakinya dalam kejadian di sebuah universiti di Subang Jaya, Selangor pada petang Ahad.
Polis menerima laporan sekitar jam 6.30 petang mengenai insiden itu sebelum anggota tiba di lokasi dan mendapati mangsa cedera akibat serangan menggunakan pisau.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di Zon Merah. Keadaannya dilaporkan stabil.
Suspek berusia 21 tahun yang juga warga asing ditahan sejurus selepas kejadian. Polis masih menyiasat motif sebenar serangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau gabungan hukuman.