Pelakon komedi Sathiya mungkin kehilangan kaki akibat jangkitan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos –
Pelakon komedi terkenal Sathiya telah dimasukkan semula ke Hospital Ampang hari ini untuk pemeriksaan lanjut selepas mengalami jangkitan pada kaki kirinya.
Beliau berkata, sekiranya jangkitan itu merebak, kakinya mungkin perlu dipotong sehingga paras buku lali.
“Saya bersedia menerima apa sahaja keputusan doktor dengan hati terbuka,” kata Sathiya yang berusia 61 tahun.
Awal bulan ini, tiga jari kaki kirinya telah dipotong akibat jangkitan yang berpunca daripada penyakit kencing manis. Selepas itu, beliau berehat seketika.
Sathiya yang popular menerusi siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu, telah lama menghidap penyakit kencing manis serta tekanan darah tinggi.
Sebelum ini, dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (KARYAWAN), Persatuan Pengimport & Penjual Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 kepada Sathiya serta artis-artis lain yang memerlukan.
Sumbangan itu telah disampaikan di rumah Sathiya oleh Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez bersama wakil PEKEMA.