Pelakon popular ditahan di Bangkok, enggan henti di sekatan jalan raya kerana mabuk

Sekatan jalan raya polis di Bangkok kecoh apabila seorang pelakon dan model terkenal, Marie Brenner, 33, enggan berhenti ketika memandu kereta mewah Porsche hijau bersama seorang ahli perniagaan berprofil tinggi.
Kenderaan itu dikesan pada malam Ahad selepas enggan memberi kerjasama ketika diperiksa, malah kedua-dua individu berkenaan dikatakan cuba melengahkan tindakan polis hampir sejam.
Usaha mereka termasuk memaki hamun anggota serta mendakwa mempunyai hubungan dengan pegawai kanan polis, sekali gus mencetuskan ketegangan di lokasi.
Brenner akhirnya dibawa ke balai tetapi tetap menolak untuk mengambil ujian alkohol. Beliau didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dan dibebaskan dengan ikat jamin 20,000 baht sementara menunggu prosiding mahkamah.
Ahli perniagaan terbabit pula dituduh menghalang tugas penjawat awam dan turut dilepaskan dengan syarat tertentu.
Kes ini sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai penguatkuasaan undang-undang jalan raya di Thailand, apabila golongan berpengaruh dan selebriti sering dilihat cuba mengelak daripada tindakan.