Pelaksanaan NAS dijangka jana RM2 bilion dan 2,000 peluang kerja

Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) dijangka memberi limpahan ekonomi bernilai RM2 bilion dan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, NAS adalah langkah strategik ke arah pengalamatan digital negara yang membolehkan data alamat dikumpul secara berpusat dan berpiawai mengikut standard MS2039.
Setiap alamat akan digeokod serta diberikan pengecam lokasi unik bagi menjamin keserasian antara pelbagai sistem dan sektor.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan Pelan Anjakan NAS bermula dengan projek perintis di lokasi terpilih.
Inisiatif ini bakal meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam dan swasta, serta memperkukuh ekosistem digital negara secara menyeluruh menerusi sokongan pelbagai pihak termasuk PBT, syarikat logistik, e-dagang, dan utiliti.