Pemandu BMW mengaku tidak bersalah langgar ‘grab rider’ dalam keadaan mabuk

Seorang pekerja bengkel mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan, Ahad lepas.
Menurut laporan Kosmo, tertuduh, Kok Zi Kang, 25 membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas didakwa memandu kereta BMW 530i dengan pengaruh alkohol melebihi 26 miligram dalam 100 milimater darah melepasi had yang dibenarkan.
Dia yang mengakibatkan kematian Mohd Taufik Ariff Sariff pada jam 2.10 pagi di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya juga berdepan pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kereta dipandu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1)(6) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 108 (3) (f) akta yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai selain menetapkan 19 Mei ini sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, Mohd Taufik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dirempuh sebuah BMW berwarna putih ketika cuba untuk membantu mangsa nahas pada Ahad lepas.