Pemandu kereta mewah umur 20-an antara 10 ditahan di Thailand kerana lumba haram

Sepuluh pelancong Malaysia dikenakan denda oleh polis Thailand selepas didapati memandu secara berbahaya di sekitar Daerah Hat Yai, Jumaat lalu.
Kumpulan itu terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun.
Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram berhampiran Bazaar Greenway sekitar jam 1.30 pagi, hasil aduan penduduk yang bimbang dengan keselamatan pengguna jalan raya.
Ketua Polis Kohong Hat Yai, Kol. Pol. Apichat Wannako berkata, siasatan mendapati enam buah kereta berdaftar di Malaysia yang telah diubah suai digunakan dalam kejadian tersebut.
Polis turut menjejaki suspek menerusi rakaman CCTV di kawasan berkenaan.
Kesemua mereka mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak 5,000 Baht (sekitar RM650) seorang sebelum dibebaskan pada Ahad.