Pembekal China ‘kantoikan’ beg jenama mewah kaut untuk hampir 30 kali ganda

Perang dagang di antara China dan Amerika Syarikat tidak hanya melibatkan dua pemimpin besar, malah ia melibatkan pihak pengilang, peniaga dan pengeksport.
Baru-baru ini, pembekal dari China melakukan gerakan secara besar-besaran dengan mendedahkan setiap jenama mewah yang dijual pada harga tinggi di pasaran antarabangsa mengaut untung besar.
Bagi mereka, barangan yang dijual dengan harga yang kurang masuk akal itu sebenarnya boleh didapati dengan harga lebih kurang 30 kali ganda lebih murah jika ia dibeli dari China.
Menerusi video TikTok @senbags, seorang lelaki yang merupakan pengilang beg tangan jenama mewah Hermes telah berkongsi harga kos pembuatan beg tersebut.
Ia menimbulkan pelbagai reaksi apabila dia mendedahkan harga kos bagi setiap penghasilan beg hanya sekitar 1,400 dolar AS (RM6,500) tetapi dijual pada harga ratusan ribu ringgit.
Difahamkan, kebanyakan barangan mewah yang lain dari Eropah juga sebenarnya dihasilkan di kilang-kilang di China dan apa yang menjadikan ia mahal adalah terletak pada logo jenama itu.
Susulan itu, ramai yang mula cuba untuk berjinak dengan membeli barangan dari China, malah ada yang mahu membuat perjalanan ke negara itu bagi melihat sendiri pilihan yang ada di sana.