Pemilik syarikat pembinaan ditahan SPRM, kemuka butir palsu RM60,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pemilik syarikat pembinaan disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 10 pagi Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah cawangan Tawau.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021,
Katanya, suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu yang tidak mengikut spesifikasi yang sebenarnya kepada sebuah agensi kerajaan negeri membabitkan kerja-kerja baik pulih empat buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di salah satu daerah negeri ini dengan anggaran kos kira-kira RM15,000 bagi setiap rumah.
Bagaimanapun tambah beliau, suspek dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.