Penangan Labubu asyik ‘sold out’, CEO Pop Mart kini individu ke-10 terkaya China

Syarikat mainan China, Pop Mart yang menjadi pengeluar patung Labubu yang menjadi fenomena dunia mencatat lonjakan keuntungan hampir 400% pada separuh pertama 2025, dengan jualan meningkat tiga kali ganda kepada 13.9 bilion yuan (RM9.2 bilion).
Laporan kewangan menunjukkan keuntungan bersih syarikat melonjak kepada 4.6 bilion yuan (RM3 bilion), didorong permintaan global yang tinggi dengan hampir 40% jualan datang dari luar China.
Saham Pop Mart turut meningkat lebih 230% sejak awal tahun, menjadikan syarikat itu lebih bernilai berbanding pengeluar Barbie (Mattel), Hello Kitty (Sanrio) dan Transformers (Hasbro) digabungkan.
Ia sekaligus melonjakkan kekayaan Ketua Pegawai Eksekutif Pop Mart, Wang Ning, 38, daripada AS$1.8 bilion (RM8.5 bilion) pada 2024 kepada AS$26.3 bilion (RM122 bilion) pada tahun ini, sekali gus meletakkannya sebagai individu ke-10 terkaya di China.
Fenomena patung koleksi Labubu terus mencetuskan kegilaan penggemar di seluruh dunia, hingga sering habis terjual sebaik dilancarkan.
Pop Mart kini merancang meluaskan pasaran ke Timur Tengah, Eropah Tengah serta Amerika Selatan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan.