Penarik kenderaan perlu ada kad identiti, mudahkan proses dan elak gangsterisme

Kerajaan perlu menyediakan satu kad kuasa rasmi bagi mengesahkan identiti dan kelayakan seseorang individu atau syarikat yang menjalankan tugas menarik kenderaan.
Menurut Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, gesaan ini adalah bagi memudahkan proses tarik kenderaan dapat dilakukan secara profesional, beretika dan selamat.
Ia pada masa sama bagi mengelakkan situasi di mana individu atau kumpulan yang datang untuk menarik kenderaan bertindak seperti samseng.
Malah, kebanyakan mereka datang dalam kumpulan besar, bersikap kasar, dan menimbulkan ketakutan kepada pemilik kenderaan serta ahli keluarga.
Tambah Murugiah, kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dicadang merangka satu prosedur rasmi bagi menangani isu penarikan kenderaan secara menyeluruh.
Beliau menegaskan, semua individu yang terlibat dalam proses penarikan perlu menjalani latihan khas dan tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibenarkan menjalankan tugas tersebut.
Langkah ini juga katanya dapat memberi jaminan kepada penarik kenderaan itu sendiri, serta memulihkan persepsi masyarakat terhadap prosedur yang sering dianggap menindas.