Penculikan Pamela mungkin dirancang sendiri, 8 suspek dipercayai terlibat – Polis

Polis tidak menolak kemungkinan insiden penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh pada 9 April lalu berhampiran Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya merupakan satu perancangan yang dibuat oleh mangsa sendiri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan berdasarkan rakaman CCTV, mangsa dilihat mengikut arahan suspek tanpa sebarang pergelutan, menjadikan proses melarikannya berlaku secara lancar.
Siasatan awal turut mendedahkan seramai lapan suspek dipercayai terbabit dalam penculikan tersebut, berdasarkan kehadiran lima buah kenderaan yang dikenal pasti melalui CCTV.
Tiga daripada suspek dikesan turun dari salah satu kenderaan dan membawa Pamela keluar dari kereta e-hailing yang dinaikinya.
Tiga buah kenderaan lain dikenal pasti sebagai Toyota Camry, Nissan Almera dan Nissan Teana, manakala dua lagi berperanan sebagai kenderaan penyokong di hadapan dan belakang.