Pendidikan menengah diwajibkan selepas RUU Pendidikan (Pindaan) diluluskan

Usaha memperkukuh reformasi pendidikan negara mencapai satu lagi kejayaan apabila Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah, diluluskan di Dewan Rakyat.
RUU ini bukan sahaja terpakai kepada sekolah kerajaan, malah turut melibatkan institusi pendidikan swasta berdaftar seperti sekolah antarabangsa, sekolah menengah agama swasta, sekolah ekspatriat dan sekolah menengah persendirian Cina.
Ia juga merangkumi institusi pendidikan menengah rendah dan atas yang berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain, selagi memenuhi syarat pendidikan menengah wajib.
Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi libat urus dan advokasi akan diteruskan agar semua pihak memahami pelaksanaan dasar ini, termasuk pengecualian persekolahan di rumah yang akan dinilai berdasarkan kes individu.
Bagi institusi tidak berdaftar, kementerian sedang berusaha meyakinkan pemilik untuk mendaftar secara sah bagi memastikan penawaran kurikulum standard dan kawalan lebih baik terhadap operasi sekolah terbabit.