Pengarah syarikat disamun siang hari di lampu isyarat, sebanyak RM200,000 di Seksyen 33, Shah Alam
Kuala Lumpur, Julai 23 – Seorang pengarah syarikat berdepan detik cemas selepas disamun sekumpulan lelaki yang bersenjata di lampu isyarat berhampiran sebuah sekolah di Seksyen 33, Shah Alam, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian itu berlaku ketika mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kembara sedang berhenti di lampu isyarat sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.
Kejadian itu tular di media sosial menerusi rakaman kamera papan pemuka kenderaan kereta pengguna jalan raya lain dan menerusi rakaman itu, dua suspek yang memakai topi keledar berhenti di sebelah kiri kereta mangsa diikuti sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada di belakang bertindak menghalang laluan dengan memintas kereta mangsa.
“Supek yang membonceng motosikal telah pergi ke arah mangsa lalu memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan sebilah kapak dan mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang lagi rakan suspek yang menaiki Perodua Alza telah membuka pintu penumpang hadapan kereta mangsa sebelum melarikan beg yang mengandungi wang tunai RM200,000.
Hasil semakan polis mendapati nombor pendaftaran Perodua Alza yang digunakan suspek adalah palsu dan polis berusaha mengesan kesemua suspek bagi siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.