Pengurus projek ditahan SPRM Sabah kerana tuntutan palsu RM800,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pengurus projek sebuah syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM800,000.
Lelaki berusia 50-an itu ditahan sekitar jam 10 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan negeri antara 2014 hingga 2018 bagi projek pembinaan jalan yang tidak disiapkan sepenuhnya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Suspek telah dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin selepas keterangannya diambil. Beliau dijadualkan untuk didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Jumaat.