Peniaga wanita dibunuh, mayat ditemui di tepi sungai selepas urusan COD

KUANTAN: Mayat seorang peniaga makanan wanita ditemui di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 12.45 tengah hari.
“Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian bersama pasukan forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, terdapat tanda-tanda jenayah pada tubuh mangsa.
“Siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita berusia 37 tahun yang menetap di daerah Kuantan dan bekerja sebagai peniaga makanan.
“Saksi memaklumkan bahawa mangsa tiba di lokasi sekitar jam 7.30 malam semalam bagi menjalankan urusan tunai ketika penghantaran (COD),” katanya dalam kenyataan petang ini.
Wan Mohd Zahari menambah bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.