Penjawat awam diminta elak guna ‘Bahasa Putrajaya’, elak jurang komunikasi

Sektor awam disaran menggunakan bahasa yang mudah difahami rakyat ketika menerangkan dasar kerajaan, khususnya kepada golongan bawahan, bagi mengelak jurang komunikasi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penerangan yang terlalu teknikal atau sarat istilah rasmi sering menyukarkan masyarakat memahami isu yang dibentangkan.
Beliau memberi contoh penjelasan mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang disampaikan seolah-olah untuk golongan profesional, sedangkan majoriti rakyat memerlukan penerangan dalam bahasa harian.
Istilah seperti ‘bahasa Putrajaya’ merujuk kepada laras bahasa atau jargon undang-undang yang kerap digunakan dalam komunikasi rasmi, namun tidak mesra pendengar awam.
Sehubungan itu, penjawat awam diminta memperbaiki pendekatan komunikasi supaya mesej dasar dapat disampaikan dengan jelas dan tepat kepada semua lapisan masyarakat.