Penolong pegawai perubatan wanita bertemu ajal, ambulans langgar treler di Tapah
Kuala Lumpur,Julai 9 – Seorang penolong pegawai perubatan wanita bertemu ajal selepas ambulans yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara awal pagi tadi, di Tapah.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, kemalangan berkenaaan membabitkan sebuah ambulans milik swasta dengan sebuah treler.
Katanya, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, wanita berumur 30 tahun itu dilaporkan tersepit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,manakala, pemandu ambulans lelaki berumur 41 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Difahamkan, ambulans berkenaan dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras ke Ipoh selepas selesai menghantar pesakit.
Sementara itu, treler berkenaan pula dalam perjalanan dari Klang menuju ke Bukit Mertajam untuk menghantar barangan dan hasil siasatan awal mendapati, kejadian terbabit dipercayai berlaku selepas ambulans yang dipandu oleh lelaki berumur 41 tahun telah melanggar bahagian belakang sebuah treler yang dipandu oleh oleh seorang lelaki berumur 32 tahun di laluan sebelah kiri jalan.
Mengulas lanjut,Mohd Naim berkata, pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya dan punca kemalangan masih lagi dalam siasatan.