Pentas festival Tomorrowland musnah terbakar, dua hari sebelum dibanjiri 400,000 pengunjung

Pentas utama festival muzik elektronik terkenal, Tomorrowland di Belgium musnah dalam kebakaran besar hanya dua hari sebelum acara itu dijadualkan bermula.
Insiden berlaku petang Rabu di kawasan utama festival di bandar Boom, selatan Antwerp. Kebakaran itu menyebabkan struktur pentas yang sedang disiapkan selama empat minggu musnah sepenuhnya.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti, namun tiada kecederaan dilaporkan. Ketika kejadian, persiapan akhir sedang dijalankan menjelang pembukaan rasmi festival pada Jumaat ini yang dijangka menarik kehadiran 400,000 pengunjung sepanjang dua hujung minggu.
Pasukan bomba berusaha mengawal api daripada merebak ke kawasan perumahan dan hutan berhampiran, sementara beberapa penduduk terpaksa dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Walaupun pentas utama rosak teruk, penganjur memaklumkan kawasan perkhemahan akan tetap dibuka seperti dijadualkan, dan mereka kini giat mencari penyelesaian agar festival tetap dapat diteruskan.