Malaysia
Penyeludup Lari Tinggalkan Rakan & 650 Liter Petrol Apabila Panik Diserbu

TUMPAT: Seorang lelaki disyaki penyeludup melarikan diri ketika diserbu pihak berkuasa di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu, meninggalkan rakannya dalam kereta bersama 650 liter petrol.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata serbuan pada 9.50 malam itu menemui 26 tong petrol dalam Proton Saga Aeroback, bersama pam penyedut minyak dan dokumen pembelian petrol bersubsidi.
Hasil risikan mendapati kenderaan itu sering membeli petrol dalam jumlah besar untuk diseludup ke Thailand melalui Sungai Golok. Suspek yang ditahan mengaku sebagai kelindan dan menyangka rondaan berkurang sempena cuti perayaan.
Stesen minyak terlibat turut disiasat kerana disyaki bersubahat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.