Perbelanjaan isi rumah dorong kenaikan KDNK, PKS sumbang hampir 50% – Menteri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua 2024 sebanyak 4.4% didorong terutamanya oleh permintaan domestik dan perbelanjaan isi rumah yang meningkat 5.3%.
Menurut Armizan, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan prestasi ekonomi negara kekal kukuh dengan kadar inflasi yang menurun kepada 1.3% pada Q2 2024 berbanding 1.5% pada Q1.
“Pertumbuhan ini disokong oleh sektor perkhidmatan, termasuk peruncitan, borong, serta makanan dan minuman, yang berkembang pada kadar 5.1%,” ujarnya.
Beliau turut mengaitkannya dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menekankan peranan PKS sebagai penyumbang hampir 50% KDNK, dengan fokus kepada digitalisasi dan peningkatan daya saing.
Dalam perkembangan lain, Armizan mendedahkan bahawa pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) MITI sedang bekerjasama untuk mengurangkan birokrasi dalam proses pensijilan halal bagi produk makanan dan minuman.
“Sijil halal bukan hanya untuk umat Islam, tetapi juga menjamin kebersihan dan keselamatan makanan, yang penting untuk menarik pelancong antarabangsa,” katanya.
Inisiatif ini selaras dengan usaha meningkatkan ease of doing business dan mempromosikan industri halal sebagai salah satu teras ekonomi negara.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) kepada Kopitiam Ali, Muthu dan Ah Hock atas rekod penjualan 452,162 pinggan nasi lemak sepanjang 2024.
Armizan turut menyeru industri tempatan, termasuk peruncit dan usahawan makanan, untuk memanfaatkan teknologi digital dalam promosi bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.