Kuala Lumpur, Julai 11 – Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan menggesa Kementerian Komunikasi untuk memperkenalkan ciri baharu iaitu mendaftar akaun baharu Tik Tok menggunakan Kad Pengenalan (IC) supaya ia selamat digunakan orang ramai.
Beliau berkata sedemikian, bagi menjawab soalan pemberita mengenai kematian seorang pempengaruh media sosial,bernama Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha yang dipercayai bunuh diri akibat tekanan dan kemurungan susulan menjadi mangsa buli siber baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Datuk Dr R Nelson pula berkata, punca buli siber ini adalah akibat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan memiliki akaun media sosial yang palsu dan menyalah gunakannya bagi kepentingan diri sendiri.
Datuk Nelson yang juga Naib Presiden parti MIC turut menggesa kerajaan mengambil tindakan berat terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tiada satu lagi nyawa yang akan korban akibat buli siber.
Nelson berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu pejabat MIC, Kuala Lumpur hari ini bersama-sama dengan Datuk T Murugiah dan Datuk M Asojan.