Pesawat Air India terhempas selepas berlepas dari Ahmedabad

Sebuah pesawat Air India dilaporkan terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India.
Insiden membabitkan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dalam penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, London, dan membawa seramai 230 penumpang serta 12 kru.
Sumber tempatan memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 1.17 tengah hari waktu tempatan, Khamis, disusuli kepulan asap tebal di lokasi nahas.
Antara individu dipercayai berada dalam pesawat ialah bekas Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani, menurut laporan media India.
Kerajaan India kini berada dalam mod siaga penuh dengan operasi menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian. Pasukan perubatan dan agensi kecemasan turut digerakkan segera.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kemalangan dan siasatan sedang dijalankan.