Piala Dunia 2034: Tiada Penjualan atau Penggunaan Alkohol di Arab Saudi

LONDON: Arab Saudi mengesahkan bahawa penjualan dan penggunaan alkohol tidak akan dibenarkan sepanjang Piala Dunia 2034.
Duta Arab Saudi ke UK, Putera Khalid bin Bandar Al Saud, menegaskan negara itu tidak akan melonggarkan undang-undang Islam berkaitan alkohol. Beliau menekankan bahawa budaya negara harus dihormati dan banyak hiburan boleh dinikmati tanpa alkohol.
Stadium hanya akan menyediakan minuman ringan, dan individu yang cuba menyeludup alkohol bakal berdepan hukuman berat.
Ini menjadikan Piala Dunia 2034 sebagai kejohanan pertama yang melarang sepenuhnya alkohol, termasuk di hotel dan kawasan penyokong.
Sebagai perbandingan, Qatar membenarkan penjualan alkohol di hotel tertentu semasa Piala Dunia 2022 tetapi melarangnya di stadium, yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan penaja.