Pindaan Akta Bomba 2025 perkukuh sistem keselamatan

Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 bagi memperkukuh peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam pencegahan serta penyelamatan kebakaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pindaan ini memastikan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) lebih relevan dengan keperluan semasa, termasuk mewajibkan pemilik premis menubuhkan organisasi keselamatan kebakaran.
Fokus utama pindaan ini adalah memperkemas pengurusan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Perunding Keselamatan Kebakaran, kontraktor keselamatan kebakaran dan pasukan bomba persendirian bagi meningkatkan keberkesanan kawal selia keselamatan kebakaran.
Pindaan terbaru ini memastikan JBPM lebih bersedia menghadapi cabaran semasa dalam pengurusan kebakaran dan kecemasan, sekaligus meningkatkan perlindungan terhadap nyawa dan harta rakyat.