PM Anwar Luang Masa Makan Malam Bersama Cucu Selepas Acara di DBP
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bersama cucu-cucunya menikmati hidangan malam di sebuah restoran di ibu negara selepas menghadiri program di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.
Dalam hantaran di Facebook pagi ini, Anwar berkongsi beberapa gambar bersama anak dan cucu-cucunya.
“Selepas acara di DBP, saya melayan cucu-cucu yang kelaparan sebelum pulang,” tulis beliau.
Anwar menghadiri program ‘Malam Manifestasi Tiga Seni’ bersama keluarga, yang menampilkan persembahan legenda seperti Ramli Sarip, Asmidar, dan Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan.
Dalam acara itu, beliau menerima penghormatan melalui puisi khas bertajuk ‘Air Yang Ku Minum’ hasil karya Anwar Ridhwan, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, serta lukisan langsung oleh Suzlee Ibrahim, Dekan Fakulti Seni Halus Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).