Malaysia

PM Tempelak Pihak Pertikai Lawatan Rasminya ke Luar Negara

HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang mempertikaikan lawatan rasminya ke luar negara, menegaskan bahawa mereka tidak memahami kepentingan usaha menarik pelaburan ke Malaysia.

Menurutnya, sebagai negara dagangan, Malaysia perlu memastikan aliran pelaburan berterusan untuk menangani isu pengangguran serta meningkatkan ekonomi negara dan rakyat.

“Pelaburan mempercepat pembangunan negara. Ada yang persoal kenapa saya kerap ke luar negara, ada juga yang kata saya tak patut selalu melancong.

“Mereka tak tahu saya biasanya tiba di destinasi pada waktu petang, terus menghadiri beberapa mesyuarat dan sesi pra-majlis bersama duta sebelum daftar masuk hotel.

“Seawal 7 pagi, saya menghadiri mesyuarat dua hala dan apabila pulang ke Malaysia, saya terus bekerja. Saya langsung tak ambil cuti untuk bermain golf,” katanya kepada media Malaysia di Hanoi.

Anwar berada di Vietnam untuk lawatan kerja dua hari, termasuk menyampaikan ucaptama di Forum Masa Depan ASEAN ke-2, yang turut dihadiri Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, serta Presiden Timor-Leste Jose Ramos Horta.

Lawatan ini adalah yang pertama selepas Malaysia secara rasmi mengambil alih Pengerusi ASEAN pada Januari lalu.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker