PM Thailand rombak kabinet selepas berisiko tumbang

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, kini berdepan krisis politik serius susulan kebocoran perbualan telefon peribadinya dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, yang mencetuskan ketegangan diplomatik dan kemarahan rakyat.
Dalam panggilan tersebut, beliau didakwa menghina tentera Thailand dan dilihat terlalu akur kepada permintaan Hun Sen, mencetuskan gesaan supaya beliau meletak jawatan.
Kerajaan kini hanya memiliki kelebihan tipis dengan 248 undi selepas parti Bhumjaithai menarik sokongan dan menjadikannya terdedah kepada kemungkinan kerajaan tumbang.
Bagi meredakan ketegangan dan mengisi kekosongan jawatan menteri, Paetongtarn mengumumkan rombakan Kabinet.
Barisan baharu dijangka dimuktamadkan Jumaat ini dan melibatkan perubahan dalam portfolio utama termasuk Kementerian Pertahanan, terutama ketika isu sempadan dengan Kemboja terus memuncak.
Krisis ini telah menjejaskan kestabilan politik kerajaan dan mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat.