Polis ambil keterangan Harith mengenai isu ‘ham’

PETALING JAYA:
Polis telah merekodkan keterangan pelawak Harith Iskander berhubung hantaran media sosial yang didakwa menghina Islam.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata keterangan Harith diambil pada Rabu, lapor Bernama.
Hantaran Facebook Harith sebelum ini menyebut keimanannya tergugat selepas melihat menu “Ham Sap Coffee” kerana perkataan “ham”. Ini susulan kontroversi penjualan sandwic ayam ham dan keju tanpa sijil halal di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.
Razarudin memaklumkan bahawa pihaknya menerima 16 laporan berhubung isu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 298 dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau juga berkata pihak berkuasa sedang mengesan Cecelia Yap Song, individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.