Polis sedang mengesan remaja lelaki berusia 17 yang hilang, sejak enam hari lalu di Kuala Pilah
Kuala Lumpur, Julai 16 – Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, yang dilapor hilang oleh ahli keluarganya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sejak enam hari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani, pihaknya menerima laporan kehilangan Muhammad Adi Putra Yusri, pada jam 8.13 malam tadi.
Katanya, lokasi terakhir remaja itu dilihat adalah di Ampang Tinggi, Tanjung Ipoh dengan berpakaian kemeja-T berlengan pendek berwarna hijau dan berseluar pendek serta selipar hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan bahawa remaja lelaki itu berkulit hitam manis, berbadan kurus dengan ketinggian 180 sentimeter itu dilapor tidak lagi bersekolah, dan berdasarkan siasatan lelaki itu pernah keluar rumah beberapa kali sebelum ini, tetapi pulang semula kemudiannya.
Susulan itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah bagi membantu polis mengesannya.