Polis siasat individu bawa patung macam Anwar pada himpunan Sabtu lepas

Polis membuka siasatan terhadap kewujudan patung menyerupai Perdana Menteri yang dibawa semasa perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu.
Kes tersebut disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Rakaman video patung berkenaan dirakam berhampiran Masjid Negara dan dikenal pasti melibatkan elemen yang boleh mencetuskan gangguan ketenteraman awam.
Selain itu, tiga lagi laporan berkaitan penerbangan dron tanpa kebenaran telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Setakat ini, tiada laporan diterima berhubung dakwaan penyebaran risalah ekstremis.
Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 18,000 peserta itu berlangsung secara aman dengan pemantauan ketat oleh pihak polis.