Malaysia
Polis siasat pergaduhan di luar Stadium Cheras

Polis memulakan siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di luar perkarangan Stadium Cheras pada Rabu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid, kejadian dilaporkan berlaku di kawasan trak makanan sekitar jam 11.15 malam dan dimaklumkan oleh petugas stadium.
Pihaknya tiba ke lokasi kejadian apabila keadaan sudah kembali tenang dan Kumpulan yang terlibat sudah bersurai.
Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan mahupun kemalangan dilaporkan dan pihak polis tidak dapat mengenal pasti pelaku termasuk tiada laporan polis yang diterima berhubung kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian yang tular di media sosial itu diminta tampil untuk membuat laporan polis.