Polis Tahan Pemandu Langgar Arus, Sebabkan Kemalangan

Seberang Jaya :Seorang lelaki disyaki memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan lain di Jalan Chain Ferry di Seberang Jaya, Sabtu lalu telah ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Anuar Abdul Rahman, berkata pemandu Mitsubishi Lancer berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang, dan ujian air kencing awal mengesahkan dia negatif dadah.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menerima laporan mengenai kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Chain Ferry kira-kira jam 2.15 petang, Sabtu.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila Mitsubishi Lancer yang dipandu suspek secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda, yang kemudiannya melanggar dua kenderaan lain.
Kemalangan itu menyebabkan kecederaan ringan kepada pemandu dua kereta, manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran.