Polis tegaskan pesta gay di Kelantan bukan program kesedaran HIV seperti didakwa KKM

Polis Kelantan menegaskan serbuan terhadap perjumpaan komuniti LGBT di sebuah banglo bulan lalu dibuat berdasarkan risikan sah, tanpa sebarang niat diskriminasi.
Menurut siasatan, tiada bukti menunjukkan program itu dianjur atau dipantau oleh NGO mahupun pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah, tiada wakil rasmi ditemui ketika serbuan dijalankan.
Risikan awal mendapati jemputan ke program itu disebarkan dalam kumpulan tertutup menerusi WhatsApp, dengan kandungan yang merujuk kepada acara santai tanpa pengesahan ia berkait dengan inisiatif kesihatan awam.
Serbuan dilakukan selepas pemantauan mendapati kehadiran mencecah kira-kira 100 orang. Seramai 20 lelaki ditahan, dengan polis turut menemui ratusan kondom dan ubat berkaitan HIV.
Pemeriksaan telefon bimbit juga mendedahkan kewujudan bahan lucah, dan tiga individu telah dituduh di mahkamah.
Polis menegaskan tindakan diambil demi menjaga ketenteraman awam dan moral masyarakat, sambil menolak dakwaan ia adalah serbuan terhadap program kesedaran HIV seperti disahkan KKM baru-baru ini.