Polis terima laporan berkaitan kes ‘office wife’ di Kota Bharu

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita berstatus isteri orang didakwa menjalin hubungan sulit dengan seorang doktor.
Video berkenaan dipercayai dirakam oleh suami wanita tersebut yang turut mendakwa isterinya mempunyai dua anak.
Susulan kejadian itu, seorang doktor yang bertugas di sebuah pusat perubatan swasta di Kota Bharu hadir membuat laporan polis pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA).
Terdahulu, video berdurasi beberapa minit yang memaparkan seorang lelaki menerjah isterinya bersama seorang lelaki lain di sebuah rumah tumpangan mencetuskan perhatian ramai di Facebook.
Perkongsian itu turut mengaitkan faktor ‘office wife’ sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan terbabit.