Malaysia

Portal berita Telus Malaysia dilancarkan, tampil sebagai suara alternatif berwibawa

Telus Malaysia, sebuah portal berita berbahasa Melayu di bawah naungan Vanakkam Malaysia dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun lepas dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Vanakkam Malaysia, Thiaga Rajan Muthusamy.

Pelancaran ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-21 Vanakkam Malaysia, portal berita Tamil nombor satu di Malaysia yang kini mempunyai lebih 1.3 juta pengikut.

Teo Nie Ching menyifatkan kewujudan Telus Malaysia sebagai satu usaha yang signifikan dalam memperkasa landskap media tempatan dengan pendekatan lebih telus dan inklusif.

Beliau turut berharap agar Telus Malaysia bukan sahaja memberi impak besar dalam negara, malah mampu memperluaskan jangkauan pengaruhnya dalam kalangan diaspora India di seluruh dunia.

Bagi Vethakumari Vengiteson, Ketua Berita Vanakkam Malaysia, beliau melihat keperluan mendesak untuk mewujudkan sebuah platform berita dalam bahasa Melayu yang mampu menjangkau khalayak lebih luas.

“Wujudnya Telus Malaysia adalah sebagai jambatan yang menghubungkan suara komuniti luar dengan masyarakat umum melalui penceritaan yang inklusif dan menyeluruh,” jelasnya.

Meskipun pelancaran rasmi baru berlangsung, Telus Malaysia telah mula beroperasi sejak setahun lalu dan telah menarik perhatian ramai menerusi laporan harian.

Jelas Editor Kanan Telus Malaysia, Faris Danial Razi, portal yang dilancarkan ini tidak meletakkan persaingan dengan portal media yang wujud berpuluh tahun sebagai keutamaan.

“Sebaliknya, kami berusaha mengisi ruang dan jurang dalam landskap pemberitaan khususnya dengan mengetengahkan suara rakyat biasa dan isu yang sering terpinggir,” ujar Faris.

Dalam tempoh ini, Telus Malaysia telah berjaya meraih lebih 350,000 pengikut di platform media sosial dengan kandungan yang merangkumi isu semasa dalam dan luar negara, serta perkembangan dunia digital.

Diterajui pasukan editorial berpengalaman bersama tenaga muda, Telus Malaysia juga mengadaptasi penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi bilik berita tanpa mengabaikan nilai-nilai asas dalam penyampaian berita.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker