Prabowo nafi jadi boneka Jokowi

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa beliau bukan “presiden boneka” dan tidak berada di bawah bayangan bekas presiden Joko Widodo (Jokowi).
Menurut laporan media tempatan, Prabowo berkata walaupun beliau sentiasa merujuk pandangan Jokowi dan bekas-bekas presiden lain, segala keputusan pentadbiran dibuat secara bebas.
Tegasnya, dakwaan yang mengatakan beliau sebagai boneka Jokowi dan sering berhubung setiap malam adalah tidak benar sama sekali.
Prabowo turut memaklumkan bahawa beliau juga bertemu dengan bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Megawati Soekarnoputri, yang kini menjadi ketua parti pembangkang terbesar.
Tambahnya, meminta pandangan daripada pemimpin terdahulu bukan satu kelemahan tetapi ia adalah kebijaksanaan.
Kenyataan ini hadir selepas spekulasi semakin hangat mengenai pengaruh Jokowi, berikutan beberapa kunjungan menteri, pegawai tentera dan polis ke kediaman bekas presiden itu di Surakarta baru-baru ini.