PRK Ayer Kuning: Calon BN lepas jawatan pensyarah kanan demi tanggungjawab politik

Demi komitmen memberi khidmat kepada rakyat, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir, sanggup melepaskan jawatannya sebagai pensyarah kanan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di institusi tersebut telah menghantar surat peletakan jawatan awal minggu ini.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau kini sedang menunggu surat pelepasan rasmi daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengesahkan perkara itu dan memuji kesanggupan Mohamad Yusri sebagai bukti komitmennya terhadap tanggungjawab politik dan khidmat kepada rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 April sebagai hari pengundian, 12 April hari penamaan calon dan pengundian awal pada 22 April.