Program GEAR-uP jana RM11 bilion pelaburan domestik, tingkat taraf hidup pekerja

Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan berjaya menggerakkan pelaburan langsung domestik sebanyak RM11 bilion, membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara.
Jumlah ini adalah sebahagian daripada komitmen pelaburan RM22 bilion yang dikenal pasti oleh enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), hampir mencapai sasaran awal RM25 bilion di bawah fasa pertama program berkenaan.
Selain itu, seramai 153,000 pekerja di bawah GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima gaji kehidupan wajar minimum RM3,100 sebulan, sejajar usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dan martabat tenaga kerja.
GEAR-uP yang digerakkan selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI, menyasarkan pelaburan keseluruhan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun. Enam GLIC utama yang terlibat ialah Khazanah Nasional, KWSP, PNB, KWAP, LTAT dan Tabung Haji.
Antara projek utama termasuk pelaburan lebih RM800 juta dalam ekosistem semikonduktor serta pembangunan hab industri hijau dan pintar seluas 3,000 ekar di Kerian dan Pulau Carey.