Program motivasi eHati: Polis sahkan wujud aktiviti berbogel, enam ditahan

Polis mengesahkan berlaku aktiviti berbogel dalam program motivasi rumah tangga anjuran syarikat eHati yang dikenali sebagai Queen’s Night.
Program tersebut menawarkan dua pakej dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM9,000 termasuk penginapan empat hari tiga malam, di mana aktiviti lucah didapati berlangsung pada salah satu sesi malam di bawah Pakej B.
Hasil siasatan mendapati sekurang-kurangnya empat individu terlibat dalam aktiviti berbogel itu. Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam majlis berkenaan selain cecair disyaki diminum peserta sepanjang program.
Setakat ini, enam individu ditahan termasuk pengasas program iaitu sepasang suami isteri bersama empat lagi peserta lain iaitu tiga wanita dan seorang lelaki.
Kesemua mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.