Projek perumahan besar wajib sediakan sekolah, tadika – PM

Semua projek perumahan berskala besar melibatkan sekurang-kurangnya 3,500 unit kediaman diwajibkan menyediakan prasarana pendidikan seperti sekolah dan tadika demi kemudahan penduduk, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penyediaan sekolah rendah dan menengah perlu menjadi syarat asas sebelum kelulusan penuh projek diberikan.
Katanya, pemaju, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta jabatan berkaitan perlu menyelaraskan pelaksanaan ini sebagai sebahagian daripada pendekatan Madani dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sekiranya tiada sekolah berdekatan, pemaju disarankan menyesuaikan blok tertentu dalam projek perumahan untuk dijadikan sekolah bertingkat (vertical school) lengkap dengan kemudahan lif.
Dalam majlis pecah tanah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri, Anwar turut mengumumkan perancangan pembinaan satu juta unit rumah mampu milik antara 2026 hingga 2035 bagi menyediakan kediaman selesa dan selamat untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif.