Proses kicap di kawasan kotor, 2 kilang diarah tutup 14 hari

GEORGE TOWN: Dua kilang pemprosesan kicap dan sos cili tradisional di Timur Laut diarah tutup 14 hari selepas penemuan najis tikus dan keadaan premis yang tidak bersih.
Kilang di Jalan Patani didapati meletakkan kacang soya perapan di lantai berhampiran tandas, dengan lantai berlumut dan najis tikus di stor bahan mentah. Kilang kedua di Jalan CY Choy juga ditemukan dengan najis tikus berhampiran rak pemprosesan dan pekerja tidak mematuhi piawaian kebersihan.
Notis penutupan dikeluarkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut. Kedua-dua kilang ini sebelum ini pernah ditutup tujuh kali atas kesalahan serupa dalam 10 tahun terakhir. Produk kicap dan sos dari kilang ini dipasarkan di negeri utara dan Pulau Pinang.