Proton rancang EV mampu milik ketika tekanan perang harga dari China

Proton sedang meneliti penghasilan model EV kedua yang lebih mampu milik selepas menerima sambutan positif terhadap eMas 7 yang dilancarkan Disember lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah berkata, model baharu itu dijangka sesuai untuk keluarga muda dan ditawarkan pada harga lebih rendah bagi menggalakkan peralihan kepada EV.
Bercakap kepada Berita Harian, langkah ini jelasnya hadir ketika industri automotif tempatan terkesan oleh perang harga yang dicetuskan jenama China.
Walaupun memberi manfaat kepada pengguna, situasi ini memberi tekanan besar kepada pengeluar tempatan, vendor dan pengedar yang bergantung kepada rantaian bekalan sedia ada.
Roslan menjelaskan, pengeluar peralatan asal (OEM) tempatan tidak mampu menyaingi harga rendah jenama China disebabkan kos operasi lebih tinggi.
Justeru, Proton memilih untuk menawarkan rebat tunai atau pakej promosi, bukan pemotongan harga drastik.
Proton pada masa sama menjangkakan pelancaran model baharu dari platform Geely GMA tahun ini, termasuk eMas 5 atau eMas 3, namun ia masih berada di tahap penilaian.