PTPTN umum dividen tertinggi dalam tempoh 10 tahun, 4.05 peratus

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi 2024 sebanyak 4.05 peratus.
Kadar itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun, melibatkan agihan berjumlah RM439.87 juta kepada 6.77 juta akaun pendeposit.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, pencapaian ini membuktikan keberkesanan tadbir urus dan strategi pelaburan PTPTN yang mampan, termasuk pelaburan patuh syariah dalam pasaran wang tempatan serta instrumen jangka Panjang.
Hasilnya, PTPTN berjaya memberi pulangan kompetitif meskipun OPR kekal pada kadar 3.0 peratus sepanjang tahun 2024.
Tambah beliau, jumlah deposit terkumpul dalam Simpan SSPN meningkat kepada RM3.17 bilion pada tahun lalu, naik sebanyak RM24.37 juta berbanding 2023.
Selain itu, lebih 500,000 akaun baharu telah dibuka sepanjang tahun, menjadikan jumlah keseluruhan akaun kini mencecah 6.77 juta.