Rakyat boleh sumbang RM100 untuk Kotak Sara Rahmah dengan Mydin

Mydin Mohamed Holdings Berhad menyasarkan kutipan 200,000 Kotak Sara Rahmah menjelang hujung tahun bagi membantu golongan memerlukan di seluruh negara.
Melalui inisiatif ini, rakyat yang menerima bantuan tunai Sara bernilai RM100 tetapi tidak memerlukan, khususnya golongan berpendapatan tinggi, digalak menyalurkan sumbangan tersebut untuk membeli Kotak Sara Rahmah.
Setiap kotak berisi barangan keperluan asas yang turut menyokong produk perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ia akan bermula di semua pasar raya besar Mydin pada 31 Ogos, sebelum diperluaskan melalui trak bergerak ke kementerian, agensi kerajaan dan institusi swasta mulai 2 September.
Mydin turut menyumbang 50 kotak makanan sebagai simbolik pelancaran program ini, dengan matlamat mengukuhkan nilai kebersamaan rakyat Malaysia di samping meringankan beban golongan rentan.