Rakyat Malaysia selamat dibawa keluar dari Iran

Rakyat Malaysia yang berada di Iran dilaporkan telah selamat dibawa keluar dari negara itu dan kini dalam perjalanan pulang ke tanah air, menurut laporan Astro AWANI.
Kesemua mereka dijangka tiba di KLIA malam ini hasil usaha Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dengan kerjasama beberapa kedutaan lain.
Langkah membawa pulang ini susulan arahan Kementerian Luar pada Sabtu lalu yang menggesa rakyat Malaysia meninggalkan Iran ekoran situasi keselamatan semasa.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pengangkutan darat telah diatur dari Iran ke Ashgabat, Turkmenistan memandangkan tiada penerbangan dibenarkan melalui ruang udara Iran buat masa ini.
Perjalanan sejauh 950km itu mengambil masa kira-kira 13 jam, dan membabitkan laluan mencabar merentasi banjaran.
Wisma Putra turut menjelaskan bahawa jumlah rakyat Malaysia di Iran adalah kecil dan merangkumi kakitangan kedutaan, pelajar serta pelancong.