Ramai tangguh beli kereta sebab tunggu jenama China buat potongan harga

Jualan kereta di Malaysia dijangka berdepan penyusutan dalam suku-suku akan datang, khususnya dalam segmen bukan nasional, menurut RHB Investment Bank.
Ia dipengaruhi oleh tindakan pembeli yang menangguhkan pembelian bagi menunggu potongan harga lebih menarik daripada pengeluar sedia ada dan pemain baharu, terutamanya dari China.
Penawaran model baharu secara agresif serta diskaun harga besar-besaran mencetuskan persaingan yang sengit, sekali gus menjejaskan kestabilan pasaran kenderaan bukan nasional.
Tempahan tertunggak bagi syarikat utama seperti PERODUA dan Toyota juga menunjukkan penurunan, masing-masing kepada 90,000 dan 15,000 unit, berbanding 100,000 dan 20,000 unit pada tahun lalu.
Dalam masa sama, kadar kelulusan pinjaman pembelian kenderaan turut merosot kepada 55 peratus tahun ini, berbanding 58 hingga 63 peratus antara 2022 hingga 2024, menandakan syarat pinjaman kini lebih ketat.
Sementara itu, walaupun insentif pengecualian duti import dan eksais bagi kenderaan elektrik (EV) jenis CBU membantu merangsang penggunaan EV, langkah itu dijangka tidak diteruskan selepas hujung tahun ini.