Restoran penuh najis tikus, lipas, berbau longkang diarah tutup serta-merta

Sebuah restoran di daerah ini diarahkan tutup serta-merta selepas didapati melakukan pelanggaran serius terhadap peraturan kebersihan dan keselamatan makanan dalam satu pemeriksaan bersepadu oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), semalam.
MPHS dalam kenyataan memaklumkan, operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Inspektorat Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan, susulan aduan yang diterima daripada orang awam.
Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mematuhi pelbagai aspek kebersihan, menyebabkan ia diarahkan tutup selama 14 hari bagi tujuan pembersihan menyeluruh.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk kehadiran najis tikus dan hurungan lipas di rak penyimpanan makanan, pengendali makanan berkuku panjang, tidak memakai apron dan penutup kepala, telur ayam yang tidak dibasuh sebelum digunakan.
Malah terdapat juga sisa efluen mengalir ke longkang awam, pembuangan sisa makanan ke dalam longkang, perangkap minyak yang tidak diselenggara, peralatan memasak dan kain pengelap dalam keadaan kotor dan pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur.
Susulan pemeriksaan itu, tiga kompaun telah dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007 dan UUK Pengendali Makanan 2007.